Loading...

12.12.2011

Refleksi RPH Kajian Tempatan - Pengasasan Melaka

            Objektif pengajaran bagi pengajaran ini tercapai kerana murid-murid dapat menceritakan peristiwa pembukaan Melaka. Selepas membuat perbincangan dan aktiviti kumpulan iaitu menandakan dan melabelkan perjalanan Parameswara dari Palembang ke Melaka, wakil kumpulan dapat menceritakan peristiwa pembukaan Melaka dan menerangkan Parameswara sebagai pengasas Melaka. 
             Merujuk kepada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), kerajaan menekankan penggunaan kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran serta berpusatkan pelajar. Antaranya yang disarankan lebih banyak eksperimen, perbincangan, lawatan dan penyelesaian masalah, saya menggunakan aktiviti perbincangan dalam Langkah yang kedua. 

Kekuatan:  
Murid-murid terlibat secara aktif semasa perbincangan kumpulan. Ketika murid membuat perbincangan dalam kumpulan, saya berjalan dan memantau murid di setiap penjuru kelas. Melalui pemantauan kelas, didapati kerjasama antara murid telah dipupuk dan mereka berani untuk keluar ke hadapan kelas untuk membuat penerangan terhadap hasil kerja dan perbincangan mereka. Selain itu, saya juga berjaya menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang harmoni bagi meransang minat murid dan menghasilkan keseronokan serta mencabar kebolehan murid untuk mengembangkan potensi mereka mengaitkan isi pelajaran dengan mempersembahkan lakonan. Kemahiran berkomunikasi juga wujud semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Kelemahan:  
Semasa pengajaran, masa tamat dalam pengajaran tidak seiring dengan masa yang dirancang. Tetapi saya tidak membuat sebarang perubahan walaupun masa tamat saya adalah dua puluh lapan minit lima puluh tiga saat. Ini kerana objektif pengajaran saya telah tercapai. Tambahan pula pembelajaran yang dilaksanakan adalah bermakna kerana melibatkan proses memahami, berfikir, berbincang dan menganalisis bagi mengembangkan minda pelajar.  

Penambahbaikan:
Untuk mempertingkatkan kualiti pelajaran ini, saya boleh merumuskan hasil pembelajaran yang telah dikembangkan melalui pelbagai kaedah yang menarik, bukan sekadar menggambarkan sepintas lalu isi kandungan. Saya boleh menggerakkan murid memberi rumusan berdasarkan pengalaman pembelajaran tersebut, rumusan boleh dipindah dalam pelbagai bentuk seperti susunan dalam bait-bait puisi, sajak, pantun, soal jawab dan main peranan. 
Jika saya mempunyai peluang untuk mengajar pelajaran ini sekali lagi untuk kumpulan murid yang sama, saya akan mengedarkan enam keping gambar sejarah pengasasan Melaka yang telah dipotong kepada kepingan kecil dalam perkembangan isi pelajaran Langkah Satu. Murid dibahagikan kepada enam kumpulan, setiap kumpulan mencantumkan satu gambar yang berlainan. Kemudian wakil kumpulan mengambil kepingan gambar yang telah siap dicantum di hadapan kelas. Murid-murid pula menyusun gambar-gambar mengikut urutan masing-masing. Guru membetulkan kesilapan murid. Selepas itu, guru menggunakan kaedah soal jawab untuk membimbing murid memahami isi dalam kepingan gambar. Langkah yang kedua pula, murid juga dibahagikan kepada enam kumpulan juga. Setiap kumpulan dikehendaki membincang tentang sejarah pengasasan Melaka. Kemudian setiap wakil kumpulan membentang hasil perbincangan mereka. Guru pula sebagai pembimbing. 
Bagi langkah yang seterusnya, murid melakarkan peta dan menandakan dan melabelkan perjalanan Parameswara dari Palembang ke Melaka. Untuk penutup pula, penilaian dijalankan ke atas isi pelajaran yang telah dipelajari. Saya memilih langkah pengajaran tersebut kerana pengajaran yang berpusatkan murid dapat memupuk minat murid terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti dalam perbincangan, menganalisis dan sebagainya. Ini akan menghasilkan modal insan yang dilengkapi dengan ciri-ciri kreativiti, kritikal dan inovatif. 
Langkah-langkah perkembangan isi pelajaran bermula dari mudah kepada yang lebih kompleks, langkah-langkah disusun dengan menggunakan kaedah-kaedah yang sesuai seiring dengan kemampuan serta menarik minat murid untuk terus menghayati ilmu yang sedang diterokai. Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan dengan berkesan mengikut masa yang telah ditetapkan. Pemantauan dan penilaian dilaksanakan agar tidak menyimpangjauh daripada matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, ini juga bagi memastikan para pelajar dapat menguasai objektif pelajaran yang ditetapkan. 
Akhir sekali, saya melakukan refleksi kendiri bagi menilai sejauh mana keberkesanan kaedah pengajaran yang dilaksanakan. Ini dapat dinilai dari segi penguasaan para pelajar mengenai objektif pengajaran bukan dinilai dari segi sukatan pelajaran yang dapat dihabiskan. Sekiranya terdapat murid yang gagal dalam ujian ini, guru menjalankan aktiviti pemulihan.

没有评论:

发表评论